Pages

Wednesday, January 5, 2011

Ubat-ubatan Untuk Merawat Kutu Rambut

Pengenalan

  • Kutu adalah serangga parasit yang kecil, tanpa kepak yang menghisap darah.
  • Serangan kutu rambut adalah biasa. Kanak-kanak berusia 3-10 tahun di prasekolah atau pusat jagaan harian lebih terdedah kepada serangan ini. Ia mudah merebak, terutama di kalangan kanak-kanak sekolah, melalui sentuhan terus dan perkongsian barangan peribadi.
  • Kutu rambut akan mati jika terpisah dari kepala manusia selama lebih dari 2 hari.

Gejala & Tanda

  1. Rasa gatal yang keterlaluan.
  2. Kutu pada kulit kepala dan telur kutu pada pangkal rambut mudah dilihat pada bahagian tengkuk dan pada belakang telinga.
  3. Ia dilihat sebagai bonjolan kecil berwarna merah pada kulit kepala, leher dan bahu.

Rawatan

  • Jika kanak-kanak yang dijangkiti berusia kurang dari 2 tahun, gunakan sikat untuk mengalihkan kutu dan telur kutu tetapi jangan gunakan ubat kutu.
  • Periksa semua ahli keluarga dan rawat mereka jika didapati terdapat kutu atau telur kutu.
  • Perapi rambut mungkin menutup atau melindungi kutu rambut, jadi perapi rambut tidak harus digunakan sebelum menyapu ubat pembasmi kutu.
  • Gunakan air panas untuk membasuh cadar dan pakaian yang telah digunakan oleh mereka yang dijangkiti kutu rambut sejak 2 hari lepas.
  • Semua perkara yang tidak boleh dibasuh seperti permainan yang dibuat dari kain harus diisi dalam beg plastik selama 2 minggu. Beg tersebut hanya boleh dibuka di luar rumah. Pilihan lain yang boleh dibuat ialah dengan melakukan cucian kering.
  • Sikat dan berus perlu dinyahkuman dalam air panas atau alkohol. Rendam selama 5 minit atau lebih di dalam air yang betul-betul panas.
  • Lantai dan perabut, terutama sekali sofa dan kawasan yang kerap digunakan oleh kanak-kanak harus dibersihkan dengan pencuci hampagas. Beg hampagas harus dibuang serta-merta selepas itu.
  • Jika kutu didapati pada kanak-kanak yang bersekolah, maklumkan pada jururawat sekolah atau guru supaya kutu dapat dihalang daripada merebak. Kanak-kanak dinasihatkan supaya jangan berkongsi topi, sikat dan lain-lain barangan peribadi di sekolah.
Rawatan untuk kutu rambut adalah seperti :

Pencegahan

  • Ahli keluarga digalakkan supaya selalu memeriksa kanak-kanak secara berkala kerana jangkitan semula boleh berlaku.
  • Basuh pakaian, cadar, sikat dan berus untuk mengelakkan jangkitan semula.
  • Rawatan pencegahan menggunakan ubat pembasmi kutu adalah tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan penyakit lain dan kegatalan yang berterusan.
  • Pendidikan kesihatan tentang kitaran hidup kutu, kebersihan diri dan perkara-perkara lain amat berguna.

Pil Pelangsing

Pengenalan

Pil pelangsing dan produk untuk menguruskan badan boleh dijual sebagai ubat OTC (over-the-counter) atau diperolehi sebagai ubat preskripsi.
Kebanyakan ubat pelangsing dikatakan berkesan tetapi ia tidak disokong oleh sebarang data saintifik. Selain mengambil produk menguruskan badan , diet dan senaman yang bersesuaian perlu diamalkan. Sebahagian daripada produk ini adalah berasaskan herba.
Terdapat beberapa jenis ubat preskripsi yang boleh merawat obesiti atau berlebihan berat badan .

Produk OTC

Pil pelangsing boleh dibeli tanpa preskripsi dan anda disarankan untuk mengambil diet yang rendah kalori dan sentiasa melakukan senaman. Kebanyakan pil pelangsing  tidak mempunyai maklumat yang lengkap mengenai kandungan bahan didalamnya dan bagaimana ia dapat membantu dalam mengurangkan berat  badan.  Ianya juga adalah mahal.

Apabila Mengambil Pil Pelangsing Otc/Produk Menguruskan Badan

  1. Semak sama ada produk yang hendak dibeli adalah berdaftar dengan pihak berkuasa (www.bpfk.gov.my).
  2. Sesetengah produk (termasuk produk herba) boleh menyebabkan kesan yang memudaratkan. Oleh itu, sila pastikan anda tidak mempunyai masalah kesihatan jika ingin mencuba  produk-produk tersebut.
  3. Baca label dengan berhati-hati dan jangan ambil ubat lebih daripada dos yang ditetapkan.
  4. Produk ini dikategorikan sebagai produk OTC, tradisional dan kosmetik. Oleh itu, beberapa kenyataan seperti “menghalang lemak daripada diserap” atau “mempercepatkan metabolisma” adalah tidak dibenarkan. Jika terdapat kenyataan ini dinyatakan pada label atau sisip bungkusan, sila laporkan pada pihak berkuasa.
  5. Ephedra adalah herba yang biasa digunakan dalam produk  menguruskan badan tetapi telah dilarang  penggunaanya kerana ia  menyebabkan kesan yang tidak dingini. Terdapat kenyataan yang menyatakan produk herba bagi mengurangkan berat badan adalah selamat . Oleh itu, berhati-hati dengan produk yang disarankan oleh rakan anda yang mengatakan produk tersebut  adalah selamat dan berkesan.
  6. Elakkan produk menguruskan badan yang :- - Menjanjikan penurunan berat badan yang mendadak dan keputusan yang mengagumkan. - Mencadangkan anda tidak perlu menukar diet ataupun bersenaman. - Tidak memberikan khidmat nasihat pemakanan dan menggalakkan anda untuk makan apa sahaja.

Ubat Preskripsi

Terdapat 2 jenis ubat preskripsi yang boleh digunakan untuk merawat obesiti:
  1. Ubat antiobesiti (AOM) yang bertindak pada saluran gastro usus (GIT) iaitu:
  2. Ubat yang mengurangkan selera makan iaitu:
Obesiti dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan dan perubatan. Ini termasuk penyakit kencing manis (diabetes mellitus), sakit sendi dan penyakit kardiovaskular. Rawatan utama obesiti adalah pemakanan atau diet yang bersesuaian dan meningkatkan aktiviti fizikal .
Ubat antiobesiti hanya dicadangkan untuk individu yang mempunyai jisim berat badan BMI (Body mass index ) 30 kg/m2  atau lebih. Penggunaan ubat ini  juga adalah bersesuaian jika BMI adalah  27 kg/m2 atau  mempunyai faktor risiko seperti penyakit kencing manis, darah tinggi serta penyakit jantung dan ini bergantung kepada saranan daripada doktor.
Pemantauan perlu dilakukan pada individu yang mengambil ubat untuk menurunkan berat badan.  Rawatan perlu dihentikan jika berat badan berkurangan sebanyak 5% selepas 12 minggu atau individu mengalami
kenaikan berat badan semasa rawatan.

Maklumat Am

Ambil ubat seperti yang telah diarahkan. Jangan ambil dos yang melebihi atau kurang dari yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Sila ikuti arahan pada label ubat dan bertanya pada doktor atau ahli farmasi jika terdapat sebarang masalah.

Kaedah Penyimpanan

Simpan ubat di dalam bekas asal dan tutup dengan ketat. Simpan pada suhu bilik, jauhkan daripada kanak-kanak, suhu dan kelembapan yang tinggi, Buang ubat yang telah rosak dan tamat tarikh luput. Sila bertanya pada ahli farmasi bagaimana untuk membuang ubat dengan cara yang betul.

Kaunseling Ubat: Methylphenidate

Pengenalan

Methylphenidate ialah sejenis perangsang yang mengaktifkan atau meningkatkan aktiviti sistem saraf pusat.
Ia membantu kanak-kanak yang menghidap gangguan kurang tumpuan dengan hiperaktiviti (ADHD) menjadi tenang dan boleh menumpukan perhatian.
Kajian menunjukkan bahawa ketagihan kepada ubat perangsang sistem saraf pusat.tidak akan berlaku jika individu yang menghidap ADHD mengambil ubat mengikut dos dan sukatan yang diarahkan oleh doktor.

Kesan Sampingan

  1. Kemurungan, pening, mengantuk, sakit kepala, gangguan tidur.
  2. Perubahan pada tekanan darah atau degupan jantung.
  3. Kehilangan rambut, ruam.
  4. Pertumbuhan yang terbantut.
  5. Penglihatan yang kabur.
  6. Kehilangan berat badan, loya, muntah.

Kesan Tak Diingini

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat laporan tentang penyalahgunaan methylphenidate oleh sesetengah orang untuk mendapatkan kesan rangsangan yang dihasilkannya seperti mengurangkan selera makan, meningkatkan rasa sedar, meningkatkan daya tumpuan dan euphoria (kegembiraan yang melampau).
Sesetengah penyalahgunaan yang dilakukan adalah dengan melarutkan tablet ke dalam air dan menyuntik larutan itu ke dalam badan. Ini menyebabkan kesan mudarat terhadap diri mereka sendiri kerana tablet yang tidak larut akan menyebabkan salur darah yang kecil tersumbat.

Rawatan

  1. Makan ubat seperti yang diarahkan.
  2. Jangan ubah dos atau berhenti makan ubat tanpa nasihat doktor.
  3. Ubat mungkin mengambil masa untuk memberi kesan.
  4. Jangan hancurkan atau kunyah ubat tersebut.
  5. Tablet dan ubat tablet pelepasan terkawal (sustained release) harus diambil 30-45 minit sebelum makan.
  6. Sesetengah ubat mungkin diambil dengan cara yang berbeza. Sila baca arahan dengan betul.
  7. Minum air secukupnya kecuali jika anda diarahkan sebaliknya.
  8. Anda mungkin mengalami pengurangan selera makan atau penurunan berat badan. Ambil makanan di dalam kuantiti yang sedikit dengan lebih kerap. Ini boleh membantu memastikan keperluan zat makanan yang cukup di dalam badan.
  9. Ubat ini mungkin menyebabkan pening atau rasa gelisah, terutama pada peringkat awal rawatan. Elakkan memandu atau melakukan tugas yang memerlukan tumpuan semasa mengambil ubat ini.

Langkah Berjaga-jaga

  1. Pantau tekanan darah
    • Tekanan darah boleh meningkat.
  2. Jika ada sejarah menghidap epilepsi (sawan)
    • Maklumkan pada doktor jika sawan berlaku.
  3. Rawatan yang berpanjangan tanpa pemantauan akan menyebabkan tumbesaran terbantut.
    • Tinggi dan berat badan perlu dipantau
  4. Elakkan daripada memberhentikan ubat secara mendadak.

Maklumat Tambahan

Maklumkan pada doktor jika kesan ubat mula berkurangan pada sebelah malam.
Maklumkan pada doktor jika anda mempunyai masalah perubatan seperti darah tinggi, glaukoma atau hipertiroid.
Ubat ini tidak disarankan untuk wanita mengandung atau wanita yang menyusukan anak.
Ubat ini tidak disarankan kepada pesakit yang mempunyai sejarah penyalahgunaan ubat/dadah atau alkohol.

Kaedah Penyimpanan

Kaedah penyimpanan perlu diberi perhatian serius memandangkan ubat ini selalu disalahgunakan.
Jangan campurkan ubat ini dengan ubat lain.
Simpan ubat di tempat yang sejuk dan kering, serta jauhkan daripada kanak-kanak

Duromine

Apakah itu Duromine?

Duromine merupakan sejenis produk yang mengandungi bahan aktif Phentermine. Phentermine merupakan sejenis ubat perangsang di mana struktur kimianya menyerupai amfetamine. Produk tersebut diformulasikan dengan sejenis resin untuk membolehkan phentermine diserap secara terkawal agar kesan rawatan Duromine dapat dikekalkan untuk seharian.

Apakah kegunaan Duromine?

Duromine digunakan untuk mengurangkan berat badan bagi pesakit yang telah dikenalpasti oleh doktor mengalami masalah berat badan berlebihan.
Duromine digunakan sebagai sebahagian daripada usaha dalam mengurangkan berat badan disamping mengamalkan cara pemakanan sihat dan senaman.
Duromine hanya boleh diperolehi melalui preskripsi doktor. Ubat tersebut juga mempunyai kegunaan lain. Sila bertanya kepada doktor ataupun ahli farmasi anda untuk mendapatkan maklumat terperinci.

Bagaimanakah Duromine bertindak?

Bahan aktif Duromine ialah Phentermine.
Phentermine bertindak dengan mengurangkan selera makan. Ia bertindak dan mempunyai kesan pada fungsi tertentu dalam otak yang mengawal selera makan, dan seterusnya menyebabkan anda rasa kurang lapar.

Apakan dos Duromine yang sesuai?

Dos biasa untuk orang dewasa dan kanak-kanak melebihi 12 tahun, ialah satu kapsul sekali sehari di waktu pagi. Dos permulaan bagi pesakit baru adalah 30mg sehari dan seterus dikekalkan pada 15mg hingga 30mg sehari bergantung kepada respons badan.
Doktor akan memaklumkan sama ada Duromine 30mg, 15mg ataupun 40mg adalah dos yang sesuai untuk anda. Anda harus mengikuti arahan doktor dan tidak mengubahsuai dos sesuka hati. Adalah diingatkan bahawa pengambilan Duromine dalam dos yang tinggi tidak semestinya dapat membantu mengurangkan berat badan anda dengan lebih cepat. Malah, anda mungkin mengalami kesan sampingan yand tidak diingini.

Bagaimanakah caranya untuk mengambil Duromine?

Duromine harus diambil pada sebelah pagi bersama sarapan pagi supaya ia tidak menyebabkan kesusahan untuk tidur pada waktu malam. Kapsul Duromine harus ditelan dengan air yang banyak (lebih kurang segelas air). Jangan hancurkan, kunyah ataupun buka kapsul Duromine kerana produk tersebut merupakan sejenis formulasi istimewa yang membolehkan bahan aktif Phentermine diserap secara terkawal oleh badan. Penghancuran ataupun pembukaan kapsul akan menyebabkan kadar penyerapan phentermine yang terlalu cepat dan keberkesanan rawatan akan terjejas.
Anda mungkin mengalami kesan yang tidak menyenangkan (withdrawal) sekiranya anda berhenti mengambil ubat ini secara mendadak setelah penggunaan untuk jangka masa yang panjang. Jangan hentikan penggunaan tanpa kebenaran doktor anda. Anda mungkin perlu mengurangkan dos secara beransur-ansur mengikut nasihat doktor sebelum berhenti sepenuhnya.
Jangan ambil Duromine di waktu petang kerana ia mungkin akan menyebabkan kesusahan untuk tidur (Insomnia).

Apakah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian sebelum mula menggunakan Duromine?

Maklumkan doktor atau ahli farmasi anda sekiranya anda mengalami perkara-perkara berikut:
  • Alahan terhadap ubat-ubatan, terutamanya phentermine
  • Ubat-ubatan lain yang anda sedang ambil (ubat preskripsi dan ubat yang dibeli di atas kaunter)
  • Masalah kesihatan/penyakit termasuk tekanan darah tinggi, masalah jantung, arteriosclerosis, thyroid, kencing manis, glaukoma ataupun ketagihan dadah.
  • Mengandung, disyaki mengandung, merancang untuk mengandung ataupun sedang menyusu. Sekiranya anda mengandung semasa mengambil Duromine sila maklumkan doktor anda.
  • Sekiranya anda mudah menjadi resah.
Selain itu,
  • Anda harus selalu berjumpa dengan doktor untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan
  • Maklumkan doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami penurunan berat badan mendadak, kesusahan untuk bernafas, sakit dada, pengsan, bengkak kaki dan tidak dapat melakukan senaman seperti biasa.
  • Berhati-hati semasa memandu dan mengendalikan mesin berat. Duromine boleh menyebabkan mengantuk.
  • Jangan minum alkohol semasa menerima rawatan Duromine
  • Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat batuk atau selsema.

Apakah tindakan yang harus diambil sekiranya terlupa ambil ubat?

Ambil dos yang terlupa secepat mungkin. Jika sekiranya sudah tiba masa untuk dos yang seterusnya, anda harus tunggu sampai masa untuk dos yang seterusnya dan makan ubat tepat pada masa.
Jangan ambil dos tambahan untuk menggantikan dos yang terlupa. Sekiranya anda terlupa untuk mengambil Duromine semasa sarapan, ambil dos tersebut selewat-lewatnya sebelum makan tengah hari.
Jika tidak, biarkan sahaja dos yang tertinggal dan ambil dos yang seterusnya seperti biasa pada hari berikutnya. Sekiranya dos Duromine diambil lewat daripada masa tengah hari, anda mungkin akan menghadapi kesusahan untuk tidur pada waktu malam.
Jangan sesekali cuba menggandakan dos ubat bagi menggantikan dos yang tertinggal.

Apakah kesan sampingan Duromine?

Kesan sampingan Duromine termasuklah rasa loya, muntah, cirit-birit, mulut kering, sembelit, perubahan rasa, hives, impotence, jantung berdebar, dan tekanan darah tinggi.
Kesan sampingan ke atas sistem saraf tunjang termasuklah hiperaktif, kesusahan untuk tidur, menggigil, pening dan gelisah.
Maklumkan doktor atau ahli farmasi anda dengan segera:-
  • Sekiranya anda rasa tidak sihat semasa mengambil Duromine.
  • Sekiranya anda mengalami penurunan berat badan mendadak, kesusahan untuk bernafas, sakit dada, pengsan, bengkak kaki dan tidak dapat melakukan senaman seperti biasa.

Bolehkah saya mengambil Duromine sekiranya mengandung atau merancang untuk mengandung?

Mati pucuk/impoten dan perubahan pada nafsu seks adalah antara kesan sampingan umum Duromine. Jangan ambil Duromine sekiranya anda sedang mengandung ataupun merancang untuk mengandung. Duromine harus dielakkan di kalangan wanita yang sedang menyusu. Bincang dengan doktor anda untuk mengetahui tentang cara penyelesaian masalah berkenaan.

Apakah kontraindikasi Duromine?

Duromine tidak boleh diambil oleh pesakit yang mengalami masalah kesihatan seperti di bawah:
  • Tekanan darah yang sangat tinggi
  • Tekanan darah tinggi pada paru-paru
  • Masalah pada injapjantung
  • Penyakit berkaitan dengan sistem salur darah di otak
  • Masalah jantung serius termasuk perubahan pada kadar denyutan jantung
  • Arterioschlerosis atau atheroschlerosis
  • Masalah kelenjar thyroid
  • Penyakit psikiatrik seperti anorexia nervosa (tiada selera makan) dan kegelisahan
  • Glaukoma (tekanan tinggi dalam mata)

Rujukan:

Medline Plus: http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/druginfo
                      http://phentermine.com/duromine

Botox

Toksin Botulinum merupakan sejenis toksin yang dihasilkan oleh bakteria Clostridium botulinum. Sebanyak 7 jenis toksin botulinum telah dikenalpasti, iaitu jenis A, B, C (C1, C2), D, E, F dan G. ?Sindrom Botulisme? akan berlaku sekiranya seseorang termakan makanan yang telah dicemari bakteria berkenaan. Sindrom tersebut juga boleh berlaku akibat daripada kolonisasi oleh bakteria dalam sistem penghadaman bayi, ataupun daripada jangkitan pada luka. Sindrom Botulisme pada manusia biasanya disebabkan oleh bakteria jenis A, B, E, dan kadang-kala F; manakala jenis C and D hanya akan membawa kesan kepada binatang sahaja.
Botox® adalah jenama bagi produk toksin botulinum jenis A yang dihasilkan oleh bakteria Clostridium botulinum. Toksin yang terdapat dalam produk tersebut telah mengalami proses penulenan. Walaupun toksin tersebut akan menyebabkan keracunan dalam kuantiti besar, namun sekiranya diberi dalam kuantiti yang kecil melalui injeksi secara terus ke otot-otot tertentu dalam badan, Botox® menghalang isyarat kimia melalui saraf yang menyebabkan otot mengecut. Apabila ini berlaku, otot tersebut tidak dapat mengecut, kedutan tidak akan terbentuk dan permukaan kulit nampak lebih licin.
Di Malaysia, Botox® boleh digunakan untuk merawat beberapa jenis masalah kesihatan seperti:-
  • Masalah neurologikal yang menyebabkan penegangan otot leher dan bahu yang serius
  • Masalah spastik akibat daripada kecederaan pada sistem saraf tunjang seperti strok dan cerebral palsy
  • Kedut pada permukaan kulit di antara bulu kening
  • Peluh berlebihan
Botox® diberi melalui rawatan injeksi oleh pegawai kesihatan professional. Injeksi tersebut disuntik ke dalam otot yang terlibat untuk merawat masalah penegangan otot dan kedut. Manakala untuk merawat masalah peluh berlebihan, ubat tersebut disuntik ke dalam kulit.
Dos, bilangan injeksi, bahagian badan yang akan disuntik, dan kekerapan rawatan yang diperlukan bergantung kepada keadaan pesakit dan respons setiap individu selepas menerima rawatan tersebut. Bagi kebanyakan kes, kesan rawatan akan mula kelihatan dalam tempoh beberapa hari hingga 2 minggu, dan kesan tersebut akan kekal untuk tempoh lebih kurang 3 hingga 6 bulan.
Kesan sampingan yang mungkin berlaku semasa/setelah menerima injeksi toksin botulinum adalah rasa sakit semasa menelan (dysphagia), kesulitan bertutur (dysphonia), keletihan, dan kesusahan bernafas. Kesan sampingan lain yang mungkin, tetapi jarang berlaku adalah keresahan, sakit belakang, demam, selsema, sakit leher, ruam kulit, dan sebarang perubahan yang boleh dilihat pada permukaan kulit. Laporan kesan advers mendapati bahawa sesetengah kesan sampingan akan timbul sehari selepas menerima rawatan dan ada juga yang hanya timbul beberapa minggu setelah menerima rawatan.
Sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan yang serius ataupun berlanjutan, sila hubungi doktor ataupun ahli farmasi anda dengan segera.
Pada September 2005, satu kertas kerja telah diterbitkan dalam Journal of American Academy of Dermatology, FDA melaporkan terdapat 28 kes kematian berkaitan dengan penggunaan Botox® telah berlaku antara 1989 hingga 2003. Namun, kes-kes kematian tersebut bukanlah disebabkan oleh penggunaan untuk tujuan kosmetik. Pada 8 Februari 2008, FDA telah mengumumkan bahawa penggunaan Botox® "ada kaitan dengan beberapa kes kesan advers termasuklah kegagalan sistem pernafasan dan kematian, berikutan penerimaan pelbagai rawatan dan dos berlainan". Kes tersebut berlaku kerana ubat ini boleh menyerap ke bahagian badan lain selain daripada bahagian otot/kulit yang menerima injeksi. Terdapat juga beberapa kes kematian yang berhubung kait dengan penggunaan Botox® palsu.
Botox® mestilah digunakan dengan nasihat doktor sahaja. Produk ini boleh membahayakan jika disalahgunakan. Pastikan doktor yang berkelayakan dalam bidang perubatan dermatologi, telinga, hidung dan tekak (otolaryngology) ataupun surgeri plastik dan doktor tersebut mempunyai pengalaman dalam memberikan rawatan Botox®. Doktor yang bertauliah dapat memberikan nasihat berkenaan dengan prosedur terlibat dan dapat menentukan sama ada produk tersebut adalah sesuai untuk kegunaan dan kesihatan anda.
Kini terdapat dua jenis produk toksin botulinum yang telah berdaftar di Malaysia, iaitu Botox® dan Dysport®, masing-masing mempunyai nombor pendaftaran MAL19970915A dan MAL20000731A. Kedua-dua jenis produk tersebut mengandungi toksin botulinum jenis A. Pada Januari 2008, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan telah menerima laporan kesan advers ubat (ADR) di mana pesakit mengalami demam dan kesusahan bernafas lima jam selepas menerima injeksi Dysport®.
Sebelum menggunakan ubat ini, anda perlu memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi anda mengenai semua ubat dan produk kesihatan herba yand sedang diambil, terutamanya sesetengah ubat antibiotik, ubat cair darah, ubat untuk penyakit Alzheimer's, ubat untuk myasthenia gravis dan quinidine.
Kebelakangan ini, Bahagian Penguatkuasa Farmasi telah menjalankan pemeriksaan secara berkala terhadap premis tertentu untuk memastikan produk toksin botulinum yang digunakan adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia. Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang boleh didakwa bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dengan denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Semakan Akhir : 06 November 2009
Dilawati : 1599

Viagra tu apa??

Apakah dia Viagra?

Viagra merupakan sejenis produk yang mengandungi sildenafil yang tergolong dalam ubat jenis phosphodiesterase (PDE )inhibitors

Apakah kegunaan Viagra?

Viagra digunakan dalam rawatan kegagalan ereksi ataumati pucuk.  Keadaan ini berlaku apabila seseorang tidak dapat mengekalkan ketegangan zakar semasa aktiviti seks.
Sekiranya anda mengambil Viagra sebagai rawatan untuk kegagalan ereksi, anda perlu tahu bahawa Viagra tidak menyembuhkan kegagalan ereksi atau meningkatkan nafsu seks.
Viagra hanya boleh diperolehi melalui preskripsi doktor sahaja.

Bagaimanakah ia berfungsi?

Viagra berfungsi dengan merehatkan saluran darah pada zakar apabila ghairah. Ini membenarkan darah mengalir ke zakar, seterusnya membolehkan anda mendapat ereksi secara semulajadi.

Apakah dos untuk Viagra?

Dos Viagra untuk dewasa adalah sebanyak 50mg dan diambil satu kali sehari, satu jam sebelum aktiviti seks. Dos boleh bertambah kepada 100mg atau dikurangkan kepada 25mg.  Dos maksima yang boleh diambil adalah 100mg sebanyak satu kali sehari. Dos permulaan bagi orang dewasa yang berumur 65 tahun ke atas ialah sebanyak 25mg dan boleh bertambah kepada 50 hingga 100 mg bergantung kepada keberkesanan dan kesesuaian.

Bagaimanakah cara pengambilan Viagra?

Ambil Viagra mengikut arahan doktor. Doktor akan menentukan dos yang bersesuaian bergantung kepada keadaan serta respons anda.
Ambil viagra satu jam sebelum anda melakukan aktiviti seks. Telan ubat tersebut dengan segelas air.
Jangan ambil viagra melebihi dari satu kali dalam sehari.
Ikut arahan yang  diberikan oleh doktor dan ahli farmasi anda dengan betul.
Tempoh yang diambil untuk Viagra menunjukkan kesan adalah berbeza bagi setiap individu, tetapi lazimnya  mengambil masa di antara setengah jam ke satu jam untuk bertindak. Ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk bertindak sekiranya diambil bersama makanan berat. Viagra hanya akan berkesan apabila anda berasa ghairah.

Apakah langkah berhati-hati yang perlu diambil sebelum mengambil viagra?

Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi anda tentang perkara berikut:
  • Sebarang alahan kepada ubat-ubatan atau apa-apa jenis bahan (cthnya. makanan, pengawet, pewarna)
  • Sebarang ubat-ubatan yang diambil (ubat preskripsi dan supplemen)
  • Anda mempunyai masalah jantung dan saluran darah
  • Anda mengalami masalah hilang penglihatan secara tiba-tiba pada sebelah atau kedua-dua belah mata.
  • Anda mengalami masalah kesihatan seperti berikut: kencing manis, masalah ginjal atau hati, leukimia, multiple myeloma, sebarang masalah atau kecacatan pada pangkal zakar, masalah pendarahan, ulser perut dan rabun warna.
  • Sekiranya anda menerima sebarang rawatan untuk mati pucuk
  • Sekiranya anda mempunyai lain-lain masalah kesihatan
Langkah Beringat: Pengambilan bersama lain-lain Ubat
  • Maklumkan kepada ahli farmasi/doktor anda sekiranya anda mengambil lain-lain ubat termasuklah ubat-ubatan yang dibeli tanpa preskripsi dari farmasi, pasaraya atau kedai makanan kesihatan
  • JANGAN AMBIL VIAGRA SEKIRANYA ANDA MENGGUNAKAN UBAT YANG MENGANDUNGI NITRATE UNTUK RAWATAN ANGINA (ubat untuk sakit dada)
  • JANGAN AMBIL UBAT 'AMYL NITRATE' (DIKENALI SEBAGAI 'POPPERS' SEMASA ANDA MENGAMBIL VIAGRA)
  • Sesetengah ubat mungkin akan bertindakbalas dengan viagra. Sebagai contoh: Cimetidine, antifungal ketoconazole dan itraconazole), antibiotik (contohnya erythromycin dan rifampicin). Dapatkan nasihat dari ahli farmasi atau doktor anda.

Apakah kesan sampingan Viagra?

Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi segera sekiranya anda mendapati simptom berikut menjadi lebih teruk atau tidak sembuh
  • Sakit kepala, pening
  • Flushing (rasa panas pada bahagian muka, leher dan dada)
  • Masalah penghadaman
  • Hidung tersumbat
  • Perubahan pada penglihatan seperti penglihatan menjadi kabur, penglihatan menjadi biru, atau peka terhadap cahaya
  • Cirit-birit
  • Jangkitan pada saluran kencing
  • Ruam
Sekiranya anda mengalami sebarang simptom yang merisaukan, segera berjumpa doktor anda.
Apakah keadaan yang di mana pengambilan viagra adalah tidak dibenarkan
  • Anda menggunakan amyl nitrate
  • Anda mempunyai masalah jantung atau saluran darah yang menyebabkan aktiviti seks adalah tidak digalakkan
  • Anda mempunyai alahan kepada sildenafil
  • Anda mempunyai masalah hati yang teruk
  • Anda hilang penglihatan pada sebelah atau kedua-dua belah mata
  • Anda mempunyai penyakit pada mata yang dikenali sebagai retinitis pigmentosa

UBAT :Ubat Antikeresahan

Pengenalan

  • Ubat antikeresahan ialah ubat preskripsi untuk menenangkan pesakit yang mengalami keresahan yang terlampau, dan untuk merangsang tidur (sedatif atau alat bantu tidur).
  • Jenis ubat yang selalu digunakan ialah benzodiazepin.
  • Ianya bertujuan untuk kelegaan jangka pendek bagi keresahan yang terlampau.

Ubat Preskripsi

Benzodiazepines
Ubat benzodiazepin yang sering digunakan untuk merawat keresahan ialah:- Alprazolam (Xanax), Diazepam (Valium) and Lorazepam (Ativan).
Benzodiazepin menggantikan barbiturat memandangkan potensi penyalahgunaan, kesan sampingan dan masalah interaksi benzodiazepin yang rendah (kelebihan dos barbiturat adalah punca utama kematian).
Jangkamasa tindakan
Benzodiazepin terbahagi kepada beberapa kumpulan bergantung kepada jangkamasa tindakan.
  1. Jangkamasa pendek (contohnya Alprazolam)
    • Bertindak kurang dari enam jam
    • Kesan ubat yang berpanjangan adalah sedikit sekiranya diambil sebelum tidur, tetapi kesukaran tidur mungkin berulang dan menyebabkan keresahan di kala terjaga dari tidur.
    • Berkesan untuk mengatasi masalah kesukaran untuk tidur
  2. Jangkamasa sederhana (contohnya Temazepam)
    • Bertindak selama 6-10 jam
    • Kesan ubat yang berpanjangan adalah sedikit
    • Kesukaran tidur yang berulang jarang berlaku
  3. Jangkamasa panjang (contohnya Lorazepam)
    • Kesan sedatif yang kuat dan berpanjangan
    • Pengumpulan ubat dalam badan boleh berlaku
    • Jangkamasa penyingkiran ubat berbeza di antara individu terutamanya warga emas
    • Biasanya ia lebih berkesan untuk membantu keresahan berbanding sebagai alat bantu tidur atau sedatif.
Alprazolam
Digunakan sebagai antikeresahan lebih dari digunakan sebagai ubat tidur, walaupun ia mempunyai jangkahayat yang pendek.
Lorazepam
Berpotensi untuk memudaratkan lagi keadaan lupa dan keliru.
Bukan pilihan terbaik untuk kegunaan jangka panjang bagi warga emas disebabkan kesan pelupa
Mungkin pilihan terbaik untuk jangka pendek bagi pesakit muda yang tidak mengambil minuman beralkohol memandangkan ubat ini kurang memberikan kesan sedatif.
Kesan sampingan
  • Mengantuk, koordinasi otot tidak seragam, kekeliruan, gayat, dan gangguan pertimbangan adalah kesan sampingan yang biasa dialami.
  • Benzodiazepin mungkin mengganggu keupayaan untuk memandu dan mengendalikan jentera. Kesan gangguan ini semakin buruk sekiranya diambil bersama dengan minuman beralkohol memandangkan kedua-duanya bertindak pada sistem saraf pusat.
  • Pengambilan benzodiazepin bersama alkohol boleh menyebabkan kematian.
  • Kesan ubat benzodiazepin jangkamasa panjang juga boleh berpanjangan sehingga keesokan harinya.
  • Penggunaan benzodiazepine yang berpanjangan boleh menyebabkan masalah keresahan yang dialami lebih teruk samada orang itu mempunyai sejarah psikiatrik atau tidak.

Kesan Mudarat

2 jenis kesan mudarat mungkin berlaku disebabkan penggunaan berpanjangan ubat anti keresahan:
  1. Kesan kebergantungan
    • Ubat ini boleh menyebabkan kesan kebergantungan sekiranya diambil secara berterusan selama 2 minggu.
  2. Kesan gian
    • Pemberhentian mendadak pengambilan ubat anti keresahan boleh mengakibatkan reaksi yang teruk dan berpotensi mengancam nyawa, seperti juga kesan gian dari alkohol menyebabkan kecelaruan.
    • Tempoh kesan gian di kalangan ubat berbeza-beza. Dalam tempoh 12 hingga 24 jam yang pertama, seseorang itu mungkin berasa cemas, gelisah, terketar-ketar dan lemah.
    • Sawan mungkin terjadi pada mereka yang mengambil dos yang tinggi. Kadang-kadang, sawan boleh berlaku 1 hingga 3 minggu selepas pemberhentian ubat.
    • Gejala gian benzodiazepin boleh berlaku bila-bila masa sehingga tempoh 3 minggu setelah pemberhentian ubat jangkamasa panjang, tetapi boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam sahaja dengan ubat jangkamasa pendek.
    • Kesan-kesan lain yang boleh berlaku sewaktu pemberhentian ubat termasuklah penyahidratan, kecelaruan, tidak boleh tidur, kekeliruan, dan halusinasi (melihat atau mendengar tentang benda yang tiada disitu).

Langkah Berjaga-jaga

Jangan tingkatkan dos atau mengambil lebih dari yang disarankan oleh doktor.
Walaupun kemungkinan kerosakan hati adalah kecil apabila ubat diambil pada dos yang telah disarankan, ianya masih perlu dipertimbangkan pada setiap individu, terutama mereka yang mengambil ubat-ubatan lain termasuklah ubat penahan sakit dan/ atau alkohol

Arahan Khusus

  • Makan ubat bersama makanan atau susu sekiranya berlaku ketidakselesaan perut. Toleransi terhadap ubat menyebabkannya kurang berkesan dengan penggunaan yang berpanjangan.
  • Jangan berhenti mengambil ubat ini tanpa kebenaran doktor.
  • Dos ubat anda mungkin perlu direndahkan sekiranya anda telah mengambilnya untuk satu tempoh yang lama.

Maklumat Am

  • Sebelum mengambil ubat ini, sila beritahu doktor anda mengenai sejarah pengubatan terutamanya penyakit hati atau ginjal, alahan ubat.
  • Alkohol atau jenis ubat sedatif lain akan mengakibatkan rasa amat mengantuk. .
  • Hadkan pengambilan alkohol.
  • Warga emas adalah lebih sensitif terhadap kesan ubat ini. Guna dengan berhati-hati.
  • Ubat ini tidak disyorkan sewaktu hamil. Bincanglah dengan doktor anda mengenai risiko dan manfaat ubat ini.
  • Ubat ini mungkin meresap ke dalam susu badan, sila rujuk doktor anda sebelum menyusukan anak anda.

Kaedah Penyimpanan

  • Memandangkan ubat ini sering disalahgunakan, kaedah penyimpanannya perlu diberi lebih perhatian.
  • Jangan campur ubat ini dengan ubat-ubatan lain.
  • Simpan ditempat yang sejuk, kering dan jauh dari kanak-kanak.