Pages

Wednesday, January 5, 2011

Kehamilan dan Ubat-ubatan

Bagaimanakah kesan ubat-ubatan di atas kehamilan anda?
Ubat-ubat tertentu boleh memberi kesan buruk keatas janin pada bila-bila masa semasa mengandung. Sekiranya anda mengandung, ataupun merancang untuk hamil, anda haruslah mengurangkan penggunaan ubat-ubatan dan juga sebarang ramuan herba yang boleh di beli di farmasi. Sesetengah ubat adalah selamat digunakan (contohnya penisillin). Terdapat juga ubat-ubatan yang tidak selamat digunakan (contohnya talidomida). Adalah sangat mustahak anda mendapatkan nasihat daripada anggota profesional perubatan sebelum pengambilan sebarang ubat-ubatan.
Apakah langkah pengawasan yang perlu anda ambil?
  • Berbincanglah dengan doktor ataupun ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan.
  • Sekiranya anda makan ubat secara tetap (contohnya untuk rawatan sawan), adalah penting bagi anda untuk berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum hamil.
  • Sekiranya anda hamil tanpa dirancang, berbincanglah dengan doktor anda seawal mungkin mengenai ubat-ubatan yang sedang anda ambil.
Apakah ubat-ubatan yang biasa diberikan semasa kehamilan?
Masalah
Jenis ubat-ubatan
Melegakan kesakitan,sakit kepala, sakit belakang atau demam
  • Paracetamol
Sembelit
  • Serat (bran, ispagula dan sterkulia).
  • Julap (laktulosa - selamat bagi jangka masa pendek).
(Tingkatkan pengambilan serat dan cairan sebanyak mungkin).
Buasir / urat timbul (pengembangan pembuluh verikosa)
  • Diosmin, hesperidin (Daflon
Batuk dan selesema
  • Guaifenesin dan dekstrometorfan
  • Difenhidramin (Benadryl)
  • Ubat batuk Vicks
  • Vicks VaporRub
Melegakan Alahan
  • Klorfeniramin (boleh menyebabkan mengantuk)
  • Dekongestan ataupun pelega kesesakan dada (Pseudoefedrin, fenilefrin, oksimetazolin) perlu dielakkan diawal kehamilan.
(Elakkan penggunaan semburan dekongestan kerana pegunaan berterusan akan merosakkan saluran dalaman hidung.
Ketidakhadaman, kembong perut, ketidakselesaan perut
  • Antasid untuk ketidakhadaman asid atau pedih ulu hati (Mylanta, Maalox, Gelusil).
  • Simetikon untuk perut kembung

Kudis Buta

Pengenalan

Kudis buta adalah sejenis jangkitan kulit yang boleh berjangkit disebabkan oleh sejenis hama.
Hama adalah sejenis makhluk seperti serangga yang membentuk laluan/terowong di bawah lapisan luar kulit. Hama bertelur di bawah kulit dan menghisap darah dari mangsanya.
Kudis buta dijangkiti melalui sentuhan langsung kulit ke kulit.
Semua orang tanpa mengira peringkat umur terdedah kepada jangkitan ini.
Kudis buta yang menjangkiti haiwan tidak boleh menjangkiti manusia, ia hanya akan menyebabkan ruam.

Rawatan

Cuci pakaian dan cadar yang telah digunakan oleh orang yang dijangkiti dengan air panas.
Masukkan perkara yang tidak boleh dicuci ke dalam beg plastik yang tertutup dan simpan selama sekurang-kurangnya tujuh hari untuk membolehkan hama dan telurnya mati.
Perabut dan tempat tidur perlu dibersihkan dengan pencuci hampagas.
Orang yang bergaul rapat dan tinggal bersama orang yang telah dijangkiti kudis buta harus dirawat pada masa yang sama.
Rawatan kudis buta termasuklah menyapu krim pembunuh serangga atau losyen seperti :

Perhatian Khusus

  1. Kegatalan
    • Pesakit telah pulih dari jangkitan selepas rawatan selesai walaupun rasa gatal-gatal mungkin berlanjutan sehingga beberapa minggu
    • Rawatan untuk kegatalan mungkin diperlukan. Sapuan steroid boleh mengurangkan kegatalan dan keradangan.

Pencegahan

Pengenalpastian dan rawatan segera penyakit ini sangat penting untuk mengawalnya daripada merebak.
Pesakit yang dijangkiti sepatutnya dikecualikan dari ke sekolah sehingga selesai rawatan.
Kudis buta boleh berjangkit semula, jadi adalah sangat penting untuk mengikut segala arahan rawatan dan membersihkan bahan yang tercemar dengan penyakit tersebut.

Drug Sukan

Apakah isu-isu yang melibatkan dadah dan sukan?

  • Penggunaan drug untuk meningkatkan tahap keupayaan sukan bukan sahaja menyebabkan kesan sampingan yang buruk tetapi boleh membawa maut kepada ahli-ahli sukan tahun demi tahun.
  • Dalam tahun 1967, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa telah bersetuju untuk mengharamkan atau menghadkan penggunaan sesetengah bahan atau kaedah yang boleh meningkatkan tahap keupayaan atlit.
  • Atlit berisiko disingkirkan dari menyertai pertandingan sekiranya didapati positif mengambil dadah terlarang melalui ujian secara rambang. Mereka juga akan merana akibat kesan drug samada secara jangka pendek dan panjang.

Apakah maksud Drug?

Drug adalah merupakan sesuatu bahan (selain daripada makanan) yang apabila diambil, akan menyebabkan perubahan dalam badan. Jika perubahan itu memberi manfaat kepada badan, drug ini disebut sebagai ubat. Sekiranya perubahan ini membawa keburukan kepada badan, ianya disebut sebagai racun.

Apakah 'doping'?

'Doping' adalah penggunaan bahan atau kaedah yang diharamkan untuk meningkatkan prestasi sukan oleh atlit.

'Doping' secara tidak sengaja berlaku apabila atlit mengambil ubat untuk merawat sesuatu penyakit dan tanpa disedari ubat berkenaan mengandungi bahan yang dilarang.

Atlit-atlit tertakluk kepada polisi melarang 'doping' dan bertanggungjawab untuk menyemak status bahan-bahan dan ubat-ubatan yang diambil.

Kenapa sesetengah bahan dan kaedah diharamkan?

Alasan diharamkan melibatkan beberapa isu:
  • Kesihatan - Banyak bahan boleh menyebabkan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan jika tidak digunakan dengan betul.
  • Etika - Di dalam sesetengah keadaan bahan-bahan dan kaedah-kaedah yang diharamkan boleh meningkatkan tahap keupayaan atlit melebihi tahap biasa.
  • Undang-Undang - Sesetengah drug adalah haram dan dengan itu penggunaannya adalah dilarang dalam sukan.

Apakah polisi penyalahgunaan drug dalam sukan di Malaysia?

Strategi yang diambil bertujuan untuk :
  • Pencegahan
  • Pembasmian :
    • Salah laku dan penyalahgunaan dadah
    • Sikap dan kebiasaan yang cenderung ke arah doping
  • Memantau :
    • Ujian doping di luar pertandingan
    • Parameter latihan dan tahap keupayaan

Langkah berjaga-jaga

Sebelum mengambil sebarang ubat, atlit perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor, pegawai sukan bertauliah dan pegawai pusat doping, jika ingin menyertai acara sukan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Ini adalah kerana terdapat banyak ubat yang boleh membawa kesan terhadap tahap keupayaan atlit. (Senarai komprehensif bahan yang dilarang boleh didapati daripada 'Prohibited List International Standard' pada tahun 2005 atau dengan melayari www.wada-ama.org.

Bahan-bahan dan kaedah-kaedah yang dilarang

Senarai bahan-bahan dan kaedah doping yang dilarang. Penggunaannya merupakan satu penipuan.

Jenis dan deskripsi
Kesan-kesan sampingan
Agen Anabolik
  • Steroid anabolik androgenik adalah merupakan hormon sintetik testosteron.

  • Agen ini sering didapati dari pasaran gelap/haram di gimnasium dan kelab kecergasan kerana untuk mendapatkannya perlu mempunyai preskripsi doktor.

  • Contoh:
    • Danazol (digunakan untuk mengurangkan bengkak di bahagian dada bagi lelaki)
    • Clenbuterol (agonis beta-2 yang digunakan meningkatkan tumbesaran haiwan).


  • Botak
  • Jerawat
  • Penambahan bulu di muka dan badan
  • Kerosakan hati
  • Bagi lelaki ciri-ciri perempuan lebih terserlah dan sebaliknya.
  • Perubahan 'mood'
  • Potensi untuk menyebabkan mandul
  • Kebanyakan steroid anabolik perlu disuntik, oleh itu pengguna terdedah kepada bahaya perkongsian jarum atau jarum yang tidak steril

  • Jenis larangan: Semasa atau di luar pertandingan

Agonis Beta-2
  • Agonis beta-2 sering didapati pada ubat-ubatan asma
  • Hanya Salbutamol, Salmeterol dan Terbutaline dalam bentuk sedutan dibenarkan untuk rawatan dan pencegahan serangan asma


  • Tangan mengeletar
  • Pening
  • Berdebar-debar

Jenis larangan: Semasa atau di luar pertandingan
Agen yang mempunyai aktiviti anti-estrogen
  • Agen ini digunakan secara haram, untuk mencegah kesan sampingan yang disebabkan oleh steriod anabolik, seperti pembesaran payudara

  • Contoh:
    • Tamoksifen (digunakan dalam rawatan kanser payudara dan kemandulan)
    • Clomifen (untuk kemandulan)


  • Muka merah dan panas
  • Perut tidak selesa
  • Bengkak

Jenis larangan: Semasa atau di luar pertandingan


Diuretik dan agen 'samaran'
  • Agen samaran berpotensi melindung kehadiran bahan terlarang di dalam air kencing atau sampel lain. Contohnya: diuretik, probenesid dan pengembang plasma
  • Atlit selalunya menggunakan ubat diuretik untuk mengurangkan berat badan atau menyingkirkan steroid anabolik daripada badan
  • Contoh diuretik (ubat yang digunakan untuk menyingkirkan cecair badan) ialah furosemida dan amilorida
  • Contoh pengembang plasma adalah dekstran dan albumin


  • Dahaga
  • Penyahhidrat



Jenis larangan: Semasa atau di luar pertandingan

Analog peptid dan hormon glikoprotin
  • Hormon ini bertindak dengan merangsang pertumbuhan, mempengaruhi kelakuan, mengubah kesan sensitiviti terhadap kesakitan dan kemahuan seks.

  • Bahan kimia yang mempunyai struktur yang sama dengan hormon ini (atau analog) akan memberi kesan yang sama.

  • Bahan-bahan yang terkandung dalam kumpulan ini adalah eritropoietin (EPO), hormon tumbesaran manusia, hormon korionik gonadotrofin (HCG) dan kortikotrofin.

  • Hormon tumbesaran digunakan untuk meningkatkan saiz dan kekuatan otot. Kesan sampingannya termasuklah:
    • Akromegali - pembesaran tangan, kaki dan muka.
    • Masalah otot dan sendi menyebabkan kesukaran menjalankan latihan
  • Diabetis (kencing manis)
  • Eritropoietin merangsang pembentukan sel darah merah
    • Ini akan menyebabkan peningkatan kelikatan darah dan boleh menyebabkan masalah peredaran darah (angin ahmar, serangan jantung).
Ubat perangsang
  • Kumpulan ini termasuklah
    • Amfetamin
    • Kafein (dalam kuantiti yang banyak).
    • beberapa kandungan aktif ramuan ubat selesema dan ubat demam seperti pseudoephedrin.

.
  • Kesan sampingan termasuk
    • Meningkatkan kadar denyutan jantung
    • Menjejas kebolehan badan untuk mengawal suhu badan.
Jenis larangan: Semasa atau di luar pertandingan
Analgesik Narkotik.
  • Ini merupakan penahan sakit yang kuat dan kebanyakannya mengandungi bahan yang terlarang
    bukan sahaja untuk sukan.
  • Atlit cenderung menggunakan ubat-ubat sedemikian untuk menahan sakit daripada latihan intensif.
  • Contoh: kodein dan morfin.

  • Narkotik mempunyai potensi ketagihan.


Jenis larangan: Semasa atau di luar pertandingan

Kaedah-kaedah yang dilarang

  • Menambahkan pertukaran oksigen
    • Doping darah dan penggunaan produk-produk sintetik yang boleh meningkatkan pengambilan dan penghantaran oksigen keseluruh tubuh.

  • Manipulasi Fizikal dan Bahan Kimia
    • Mengubah, atau cubaan mengubah dengan menggunakan bahan-bahan atau kaedah-kaedah yang mengubah ciri-ciri sampel untuk ujian doping.

  • Doping Genetik
    • Penggunaan gen dan/atau sel-sel bagi tujuan meningkatkan prestasi

Pil Kontraseptif Oral (Pil Pencegah Kehamilan)

Apakah itu Pil Kontraseptif Oral atau  Pil Pencegah Kehamilan?

Ubat yang  digunakan untuk mencegah kehamilan. Pil pencegah kehamilan ini mengandungi hormon wanita sama ada:
  • Estrogen dan progestogen.
  • Progestogen.

Bagaimanakan Pil Ini Bertindak?

Bertindak mencegah kehamilan dengan menukar keseimbangan hormon badan secara:
  • Mencegah ovulasi (menghalang pengeluaran telur) dengan merencatkan proses kematangan telur.
  • Menghalang sperma daripada mempersenyawakan telur.
  • Menukar ketebalan dinding sel rahim dan menghalang proses implantasi.

Apakan Kelebihan Pil Ini?

  • Merupakan kaedah mencegah kehamilan yang berkesan yang mana tahap kegagalan adalah 1% jika diambil dengan cara yang betul.
  • Bagi wanita yang merancang untuk hamil, mereka hanya perlu berhenti mengambil pil dan mereka akan subur seperti sedia kala.
  • Mempunyai kegunaan lain, seperti melancarkan peredaran haid dan mengurangkan jerawat.

Bagaimanakah Keberkesanan Pil Ini?

  • 99% berkesan jika diambil dengan betul.
  • Cara pengambilan yang betul bermaksud patuh kepada arahan pengambilan dos dan mengambil langkah pencegahan tambahan sekiranya perlu.

Siapakah yang tidak patut mengambil pil ini?

Kebanyakan wanita boleh mengambil pil pencegah kehamilan sekiranya memiliki kesihatan yang baik, tidak mengalami berat badan berlebihan, tidak merokok dan tidak mempunyai kekangan perubatan; pil tersebut boleh diambil sehingga putus haid. Wanita yang mengambil pil pencegah kehamilan perlu menukar kepada kaedah kontraseptif lain apabila mencapai umur 50 tahun.
Doktor akan berbincang status terkini dan sejarah kesihatan anda. Beberapa penyakit diketahui dapat menyebabkan peningkatan risiko atau masalah kesihatan lain akibat pengambilan pil pencegah kehamilan ini. Oleh itu, kesesuaian pengambilan pil pencegah kehamilan ini bergantung kepada keadaan kesihatan wanita tersebut, contohnya wanita yang mengalami penyakit hepar, kanser payu dara atau sedang mengambil ubat-ubatan tertentu adalah tidak sesuai untuk mengambil pil pencegah kehamilan.
PSila maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika anda pernah/sedang mengalami masalah berikut. Doktor atau ahli farmasi mungkin akan mencadangkan kaedah alternatif yang sesuai untuk anda bagi mencegah kehamilan.
  • Pernah mengalami serangan jantung atau strok
  • Pembekuan darah di kaki, paru-paru atau mata
  • Pernah mengalami pembekuan pada salur darah di kaki
  • Sakit dada
  • Menghidap atau disyaki menghidap kanser payu dara, atau kanser uterus, serviks atau vagina
  • Penyakit jaundis (kawasan putih mata atau kulit menjadi kuning) semasa mengandung atau semasa menggunakan pil pencegah kehamilan
  • Tumor hati
  • Hamil atau disyaki hamil

Awasi Tanda Dan Simptom Berikut Semasa Mengambil Pil Pencegah Kehamilan.

Sila berjumpa dengan doktor jika anda mengalami tanda atau simptom berikut:
  • Gangguan pada penglihatan termasuk penglihatan kabur
  • Sakit kepala yang teruk
  • Sakit kaki pada peha atau betis yang teruk
  • Sakit dada yang teruk, sesak nafas, atau batuk berdarah
  • Sakit perut yang teruk

Bagaimanakah cara untuk saya mengambil pil ini?

Terdapat pelbagai jenama pil yang mengandungi amaun dan jenis hormon estrogen dan progestogen yang berbeza. Kesemua produk tersebut didatangkan dengan sisip bungkusan. Pastikan anda baca dengan teliti sisip bungkusan tersebut dan fahami cara pengambilan pil serta arahan spesifik yang perlu dilakukan sekiranya anda tertinggal ataupun muntah.
Dos:
Satu tablet diambil secara oral pada masa yang sama setiap hari. Ambil bersama makanan atau dengan segera selepas makan bagi mengurangkan kerengsaan pada perut.
Perkara yang anda harus ingat ketika mula mengambil pil pencegah kehamilan:
  1. Pastikan anda baca dengan teliti sisip bungkusan yang disertakan.
    • Sebelum anda mula mengambil pil tersebut.
    • Setiap kali apabila anda tidak pasti cara pengambilan pil tersebut.
  2. Tentukan masa untuk pengambilan pil.
    • Ambil pil tersebut pada masa yang sama setiap hari.
    • Pil yang terlupa/tertinggal diambil boleh menyebabkan kehamilan. Semakin banyak pil yang terlupa/tertinggal, semakin besar kemungkinan anda akan hamil.
  3. Perhatikan jumlah pil anda sama ada 21 atau 28 pil.
    • Pek 21-pil mengandungi 21 pil aktif yang perlu diambil selama tiga minggu, dan diikuti dengan satu minggu tanpa pil.
    • Pek 28-pil mengandungi 21 pil aktif yang perlu diambil selama tiga minggu, dan diikuti dengan satu minggu pil tidak aktif.
  4. Tentukan:
    • Masa pengambilan pil berdasarkan pek ubat tersebut.
    • Urutan pengambilan pil. Kebanyakan pek ubat mencatatkan nombor urutan mengikut hari atau minggu.
  5. Kebanyakan wanita mengalami pendarahan ringan/tompokan darah, atau sakit perut sewaktu pengambilan awal antara 1 hingga 3 pek pil yang biasanya akan hilang.Sekiranya sakit berlarutan, sila berjumpa dengan doktor.
  6. Muntah, cirit-birit dan sesetengah ubat boleh menyebabkan keberkesanan pil pencegah kehamilan anda berkurang. Anda disarankan untuk menggunakan kaedah kontraseptif alternatif (contoh kondom).

Apa Yang Patut Saya Lakukan Jika Terlupa/Tertinggal Dos

Arahan mengenai dos yang tertinggal/terlupa adalah berbeza dan bergantung kepada jenama pil tersebut dan juga jumlah dos/pil yang terlupa/tertinggal. Sila rujuk kepada sisip bungkusan untuk mengetahui arahan mengenai dos yang tertinggal.

Apakah Ubat Ini Mempunyai Kesan Sampingan Apabila Mengambilnya?

Berikut adalah kesan sampingan yang biasa dialami akibat penggunaan pil pencegah kehamilan:
  • Pendarahan vagina
    Pendarahan vagina yang tidak normal atau tompokan darah mungkin berlaku sepanjang tempoh pengambilan pil pencegah kehamilan. Pendarahan kerap berlaku semasa bulan-bulan awal pengambilan pil pencegah kehamilan tetapi boleh juga berlaku apabila anda telah mengambil pil pencegah kehamilan untuk tempoh yang lama. Pendarahan yang berlaku adalah bersifat sementara dan kebiasaan tidak berkait dengan masalah kesihatan yang serius. Penting bagi anda untuk mengambil pil tersebut mengikut jadual. Jika pendarahan vagina berlaku melebihi satu kitaran atau berlanjutan sehingga beberapa hari, sila berjumpa doktor.
  • Kanta lekap
    Jika anda menggunakan kanta lekap dan mendapati terdapat gangguan pada penglihatan atau tidak dapat menggunakan kanta lekap, sila berjumpa doktor.
  • Edema/bengkak badan
    Pil pencegah kehamilan boleh menyebabkan edema (retensi air dalam badan) seperti sembap pada jari tangan atau buku lali dan peningkatan pada tekanan darah. Sekiranya anda mengalami gejala ini, sila berjumpa doktor.
  • Melasma
    Tompok hitam pada kulit terutamanya di kawasan muka.
  • Kesan-kesan sampingan lain
    Kesan sampingan lain yang mungkin dialami termasuk loya, muntah, perubahan kepada selera makan, sakit kepala, gemuruh, kemurungan, pening, keguguran rambut, ruam dan juga jangkitan pada vagina.
Sekiranya kesan sampingan tersebut mengganggu anda, sila berjumpa doktor.

Ubat Lain Yang Boleh Mempengaruhi Keberkesanan Pil Pencegah Kehamilan.

Terdapat ubat yang boleh berinteraksi dan mempengaruhi keberkesanan ini dalam mencegah kehamilan atau menyebabkan pendarahan pada vagina bertambah. Ubat-ubatan tersebut adalah:
  • Rifampicin.
  • Ubat-ubatan bagi rawatan epilepsi/sawan seperti barbiturates, carbamazepine, phenytoin, primidone, topiramate.
  • Antibiotik seperti tetracycline, ampicillin, amoxicillin, erythromycin.
Anda mungkin perlu menggunakan kaedah kontraseptif tambahan ketika anda mengambil ubat-ubatan tersebut.
Anda perlu memaklumkan tentang pengambilan pil pencegah kehamilan kepada doktor atau ahli farmasi agar mereka dapat memberikan maklumat dan arahan yang tepat.

Amaran

Merokok boleh meningkatkan risiko kesan sampingan penggunaan pil pencegah kehamilan termasuk serangan jantung, pembekuan darah dan juga strok. Risiko adalah lebih tinggi pada wanita yang telah berumur melebihi 35 tahun dan perokok tegar (15 batang atau lebih sehari).

Kaedah Penyimpanan

  • Jauhkan daripada kanak-kanak.
  • Simpan pada suhu bilik, jauh daripada kelembapan dan cahaya terang.

Rujukan:

  1. British National Formulary (BNF), Issue 56, September 2008. RPS Publishing
  2. MedlinePlus Drug Information: Estrogen and Progestin (Oral Contraceptives). American Society of Health-System Pharmacists, Inc. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/druginfo/meds/a601050.html [27 April 2009]

Ubat-ubatan Untuk Merawat Kutu Rambut

Pengenalan

  • Kutu adalah serangga parasit yang kecil, tanpa kepak yang menghisap darah.
  • Serangan kutu rambut adalah biasa. Kanak-kanak berusia 3-10 tahun di prasekolah atau pusat jagaan harian lebih terdedah kepada serangan ini. Ia mudah merebak, terutama di kalangan kanak-kanak sekolah, melalui sentuhan terus dan perkongsian barangan peribadi.
  • Kutu rambut akan mati jika terpisah dari kepala manusia selama lebih dari 2 hari.

Gejala & Tanda

  1. Rasa gatal yang keterlaluan.
  2. Kutu pada kulit kepala dan telur kutu pada pangkal rambut mudah dilihat pada bahagian tengkuk dan pada belakang telinga.
  3. Ia dilihat sebagai bonjolan kecil berwarna merah pada kulit kepala, leher dan bahu.

Rawatan

  • Jika kanak-kanak yang dijangkiti berusia kurang dari 2 tahun, gunakan sikat untuk mengalihkan kutu dan telur kutu tetapi jangan gunakan ubat kutu.
  • Periksa semua ahli keluarga dan rawat mereka jika didapati terdapat kutu atau telur kutu.
  • Perapi rambut mungkin menutup atau melindungi kutu rambut, jadi perapi rambut tidak harus digunakan sebelum menyapu ubat pembasmi kutu.
  • Gunakan air panas untuk membasuh cadar dan pakaian yang telah digunakan oleh mereka yang dijangkiti kutu rambut sejak 2 hari lepas.
  • Semua perkara yang tidak boleh dibasuh seperti permainan yang dibuat dari kain harus diisi dalam beg plastik selama 2 minggu. Beg tersebut hanya boleh dibuka di luar rumah. Pilihan lain yang boleh dibuat ialah dengan melakukan cucian kering.
  • Sikat dan berus perlu dinyahkuman dalam air panas atau alkohol. Rendam selama 5 minit atau lebih di dalam air yang betul-betul panas.
  • Lantai dan perabut, terutama sekali sofa dan kawasan yang kerap digunakan oleh kanak-kanak harus dibersihkan dengan pencuci hampagas. Beg hampagas harus dibuang serta-merta selepas itu.
  • Jika kutu didapati pada kanak-kanak yang bersekolah, maklumkan pada jururawat sekolah atau guru supaya kutu dapat dihalang daripada merebak. Kanak-kanak dinasihatkan supaya jangan berkongsi topi, sikat dan lain-lain barangan peribadi di sekolah.
Rawatan untuk kutu rambut adalah seperti :

Pencegahan

  • Ahli keluarga digalakkan supaya selalu memeriksa kanak-kanak secara berkala kerana jangkitan semula boleh berlaku.
  • Basuh pakaian, cadar, sikat dan berus untuk mengelakkan jangkitan semula.
  • Rawatan pencegahan menggunakan ubat pembasmi kutu adalah tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan penyakit lain dan kegatalan yang berterusan.
  • Pendidikan kesihatan tentang kitaran hidup kutu, kebersihan diri dan perkara-perkara lain amat berguna.

Pil Pelangsing

Pengenalan

Pil pelangsing dan produk untuk menguruskan badan boleh dijual sebagai ubat OTC (over-the-counter) atau diperolehi sebagai ubat preskripsi.
Kebanyakan ubat pelangsing dikatakan berkesan tetapi ia tidak disokong oleh sebarang data saintifik. Selain mengambil produk menguruskan badan , diet dan senaman yang bersesuaian perlu diamalkan. Sebahagian daripada produk ini adalah berasaskan herba.
Terdapat beberapa jenis ubat preskripsi yang boleh merawat obesiti atau berlebihan berat badan .

Produk OTC

Pil pelangsing boleh dibeli tanpa preskripsi dan anda disarankan untuk mengambil diet yang rendah kalori dan sentiasa melakukan senaman. Kebanyakan pil pelangsing  tidak mempunyai maklumat yang lengkap mengenai kandungan bahan didalamnya dan bagaimana ia dapat membantu dalam mengurangkan berat  badan.  Ianya juga adalah mahal.

Apabila Mengambil Pil Pelangsing Otc/Produk Menguruskan Badan

  1. Semak sama ada produk yang hendak dibeli adalah berdaftar dengan pihak berkuasa (www.bpfk.gov.my).
  2. Sesetengah produk (termasuk produk herba) boleh menyebabkan kesan yang memudaratkan. Oleh itu, sila pastikan anda tidak mempunyai masalah kesihatan jika ingin mencuba  produk-produk tersebut.
  3. Baca label dengan berhati-hati dan jangan ambil ubat lebih daripada dos yang ditetapkan.
  4. Produk ini dikategorikan sebagai produk OTC, tradisional dan kosmetik. Oleh itu, beberapa kenyataan seperti “menghalang lemak daripada diserap” atau “mempercepatkan metabolisma” adalah tidak dibenarkan. Jika terdapat kenyataan ini dinyatakan pada label atau sisip bungkusan, sila laporkan pada pihak berkuasa.
  5. Ephedra adalah herba yang biasa digunakan dalam produk  menguruskan badan tetapi telah dilarang  penggunaanya kerana ia  menyebabkan kesan yang tidak dingini. Terdapat kenyataan yang menyatakan produk herba bagi mengurangkan berat badan adalah selamat . Oleh itu, berhati-hati dengan produk yang disarankan oleh rakan anda yang mengatakan produk tersebut  adalah selamat dan berkesan.
  6. Elakkan produk menguruskan badan yang :- - Menjanjikan penurunan berat badan yang mendadak dan keputusan yang mengagumkan. - Mencadangkan anda tidak perlu menukar diet ataupun bersenaman. - Tidak memberikan khidmat nasihat pemakanan dan menggalakkan anda untuk makan apa sahaja.

Ubat Preskripsi

Terdapat 2 jenis ubat preskripsi yang boleh digunakan untuk merawat obesiti:
  1. Ubat antiobesiti (AOM) yang bertindak pada saluran gastro usus (GIT) iaitu:
  2. Ubat yang mengurangkan selera makan iaitu:
Obesiti dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan dan perubatan. Ini termasuk penyakit kencing manis (diabetes mellitus), sakit sendi dan penyakit kardiovaskular. Rawatan utama obesiti adalah pemakanan atau diet yang bersesuaian dan meningkatkan aktiviti fizikal .
Ubat antiobesiti hanya dicadangkan untuk individu yang mempunyai jisim berat badan BMI (Body mass index ) 30 kg/m2  atau lebih. Penggunaan ubat ini  juga adalah bersesuaian jika BMI adalah  27 kg/m2 atau  mempunyai faktor risiko seperti penyakit kencing manis, darah tinggi serta penyakit jantung dan ini bergantung kepada saranan daripada doktor.
Pemantauan perlu dilakukan pada individu yang mengambil ubat untuk menurunkan berat badan.  Rawatan perlu dihentikan jika berat badan berkurangan sebanyak 5% selepas 12 minggu atau individu mengalami
kenaikan berat badan semasa rawatan.

Maklumat Am

Ambil ubat seperti yang telah diarahkan. Jangan ambil dos yang melebihi atau kurang dari yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Sila ikuti arahan pada label ubat dan bertanya pada doktor atau ahli farmasi jika terdapat sebarang masalah.

Kaedah Penyimpanan

Simpan ubat di dalam bekas asal dan tutup dengan ketat. Simpan pada suhu bilik, jauhkan daripada kanak-kanak, suhu dan kelembapan yang tinggi, Buang ubat yang telah rosak dan tamat tarikh luput. Sila bertanya pada ahli farmasi bagaimana untuk membuang ubat dengan cara yang betul.

Kaunseling Ubat: Methylphenidate

Pengenalan

Methylphenidate ialah sejenis perangsang yang mengaktifkan atau meningkatkan aktiviti sistem saraf pusat.
Ia membantu kanak-kanak yang menghidap gangguan kurang tumpuan dengan hiperaktiviti (ADHD) menjadi tenang dan boleh menumpukan perhatian.
Kajian menunjukkan bahawa ketagihan kepada ubat perangsang sistem saraf pusat.tidak akan berlaku jika individu yang menghidap ADHD mengambil ubat mengikut dos dan sukatan yang diarahkan oleh doktor.

Kesan Sampingan

  1. Kemurungan, pening, mengantuk, sakit kepala, gangguan tidur.
  2. Perubahan pada tekanan darah atau degupan jantung.
  3. Kehilangan rambut, ruam.
  4. Pertumbuhan yang terbantut.
  5. Penglihatan yang kabur.
  6. Kehilangan berat badan, loya, muntah.

Kesan Tak Diingini

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat laporan tentang penyalahgunaan methylphenidate oleh sesetengah orang untuk mendapatkan kesan rangsangan yang dihasilkannya seperti mengurangkan selera makan, meningkatkan rasa sedar, meningkatkan daya tumpuan dan euphoria (kegembiraan yang melampau).
Sesetengah penyalahgunaan yang dilakukan adalah dengan melarutkan tablet ke dalam air dan menyuntik larutan itu ke dalam badan. Ini menyebabkan kesan mudarat terhadap diri mereka sendiri kerana tablet yang tidak larut akan menyebabkan salur darah yang kecil tersumbat.

Rawatan

  1. Makan ubat seperti yang diarahkan.
  2. Jangan ubah dos atau berhenti makan ubat tanpa nasihat doktor.
  3. Ubat mungkin mengambil masa untuk memberi kesan.
  4. Jangan hancurkan atau kunyah ubat tersebut.
  5. Tablet dan ubat tablet pelepasan terkawal (sustained release) harus diambil 30-45 minit sebelum makan.
  6. Sesetengah ubat mungkin diambil dengan cara yang berbeza. Sila baca arahan dengan betul.
  7. Minum air secukupnya kecuali jika anda diarahkan sebaliknya.
  8. Anda mungkin mengalami pengurangan selera makan atau penurunan berat badan. Ambil makanan di dalam kuantiti yang sedikit dengan lebih kerap. Ini boleh membantu memastikan keperluan zat makanan yang cukup di dalam badan.
  9. Ubat ini mungkin menyebabkan pening atau rasa gelisah, terutama pada peringkat awal rawatan. Elakkan memandu atau melakukan tugas yang memerlukan tumpuan semasa mengambil ubat ini.

Langkah Berjaga-jaga

  1. Pantau tekanan darah
    • Tekanan darah boleh meningkat.
  2. Jika ada sejarah menghidap epilepsi (sawan)
    • Maklumkan pada doktor jika sawan berlaku.
  3. Rawatan yang berpanjangan tanpa pemantauan akan menyebabkan tumbesaran terbantut.
    • Tinggi dan berat badan perlu dipantau
  4. Elakkan daripada memberhentikan ubat secara mendadak.

Maklumat Tambahan

Maklumkan pada doktor jika kesan ubat mula berkurangan pada sebelah malam.
Maklumkan pada doktor jika anda mempunyai masalah perubatan seperti darah tinggi, glaukoma atau hipertiroid.
Ubat ini tidak disarankan untuk wanita mengandung atau wanita yang menyusukan anak.
Ubat ini tidak disarankan kepada pesakit yang mempunyai sejarah penyalahgunaan ubat/dadah atau alkohol.

Kaedah Penyimpanan

Kaedah penyimpanan perlu diberi perhatian serius memandangkan ubat ini selalu disalahgunakan.
Jangan campurkan ubat ini dengan ubat lain.
Simpan ubat di tempat yang sejuk dan kering, serta jauhkan daripada kanak-kanak